Skip to main content

Aku Malaysia, Drama Politik Lapuk Pukul 7


Demi negara yang tercinta.
Di curahkan bakti penuh setia.
Demi raja yang disanjung tinggi.
Kesetiaan tak berbelah bagi.

Alangkah indahnya memori itu, seorang budak kecil yang baru hendak mengenal erti kenegaraan. Di dalam benak pemikirannya dia menyangka bahawa negara ini adalah tanahnya. Tempat di mana dia boleh membesar nanti menjadi seseorang yang berjaya, menyumbang bakti kepada negara tumpah darahnya, dan menjadi rakyat yang berguna.

Perasaan bangga bercampur teruja meluap-luap di dirinya. Ditambah pula berita TV yang mencanang-canang akan kehebatan negara. Pendek kata, inilah negara yang paling hebat di dunia.

Namun minda muda itu bermimpi tidak lama.

Negara yang dipujanya menanggalkan topeng lantas menunjukkan segala. Jika dulu pemimpin disanjung tinggi kerana dianggap menggalas tanggungjawab seikhlas hati, kini semuanya terasa berat untuk dipercayai.

Sekejap mereka berkata berjuang untuk hak yang ramai, tetapi di belakang mencuri untuk mereka yang sedikit.

Sekejap mereka berjanji untuk berperang demi masa depan anak bangsa, namun yang menang hanyalah anak-anak mereka. Bangsa hilang entah ke mana.

Maka terkebil-kebil rakyat melihat mereka berdrama di atas pentas. Berjoget dan menari ke sini sana mengikut aluan musik bergenre kuasa. Hari ini mereka menjadi sang Hero, esok menjadi sang Jebat pula. Namun bayarannya tetap sama.

Nasib sang penonton di bawah diperjudikan sesuka hati. Ada penyokong yang bersungguh-sungguh menyokong kerana bermimpi untuk berada di atas pentas itu juga suatu hari nanti. Ada penonton yang sudah tahu pengakhiran cerita kerana plotnya semua sama.

Namun bagi budak yang sudah dewasa itu, dia sedar dia hanya penonton biasa. Ketika musik kuasa sedang kuat dimainkan, dia hanya menutup telinga.

Di matanya dia hanya melihat sekumpulan manusia yang sudah hilang kemanusiannya berjuang agar diberikan watak lagi dalam pementasan akan datang.

Lantas dia bangun meninggalkan kerusi teater dosa itu. Dia sedar walau betapa hebatnya jalan cerita di atas pentas itu, hari esok dia perlu berusaha sendiri untuk menyuap rezeki ke dalam mulut anak isteri.

Dia tahu dia hanyalah penonton yang tidak mendapat apa-apa dari pementasan itu. Dia bukanlah produser, koreografer atau pun ahli teater yang bakal mendapat habuan lumayan dari pementasan tadi.

Sewaktu perjalanan pulang, dia menoleh melihat ke belakang. Ramai penonton yang baru keluar setelah tamatnya teater. Ada yang tersengih-sengih bercerita tentang hebatnya sang Hero kepada kawannya. Ada yang menjerit bahawa sang Jebat adalah paling perkasa. Setiap orang ada sahaja perkara yang hebat hendah diceritakan tentang hero masing-masing.

Si dewasa itu pun menolah ke hadapan untuk menyambung perjalanan. Di dalam hatinya berkata:

"Alangkah bodohnya kita semua"

Comments