Demi negara yang tercinta. Di curahkan bakti penuh setia. Demi raja yang disanjung tinggi. Kesetiaan tak berbelah bagi. Alangkah indahnya memori itu, seorang budak kecil yang baru hendak mengenal erti kenegaraan. Di dalam benak pemikirannya dia menyangka bahawa negara ini adalah tanahnya. Tempat di mana dia boleh membesar nanti menjadi seseorang yang berjaya, menyumbang bakti kepada negara tumpah darahnya, dan menjadi rakyat yang berguna. Perasaan bangga bercampur teruja meluap-luap di dirinya. Ditambah pula berita TV yang mencanang-canang akan kehebatan negara. Pendek kata, inilah negara yang paling hebat di dunia. Namun minda muda itu bermimpi tidak lama. Negara yang dipujanya menanggalkan topeng lantas menunjukkan segala. Jika dulu pemimpin disanjung tinggi kerana dianggap menggalas tanggungjawab seikhlas hati, kini semuanya terasa berat untuk dipercayai. Sekejap mereka berkata berjuang untuk hak yang ramai, tetapi di belakang mencuri untuk mereka yang sedikit. Sekej...